Elite (kumpulan) - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas
- ️Sun Aug 13 2006
Elite | |
---|---|
Asal | Malaysia ![]() |
Genre |
|
Tahun aktif | 1995 ![]() |
Syarikat rakaman | KRU Music (en) ![]() ![]() |
Anggota | Azza Zawari Abby Abadi Norwati binti Sadali Sasha binti Saidin Azlinda binti Rafar ![]() |
Pautan berkaitan | |
Pautan lain | ![]() ![]() |
sunting · sunting di Wikidata![]() |
Elite merupakan sebuah kumpulan penyanyi wanita Malaysia yang ditubuhkan oleh KRU Records pada tahun 1995. Kumpulan ini terdiri daripada lima orang ahli: Abby Abadi, Azza Zawari, Linda Rafar, Sasha Saidin, dan Watie Sadali. Diiktiraf sebagai kumpulan penyanyi wanita yang paling lama bertahan di Malaysia, mereka telah menjual lebih daripada 100,000 unit album sepanjang 10 tahun aktif dalam industri muzik tanah air.[1]
Elite memulakan kerjaya seni mereka sebagai penyanyi gandingan KRU menerusi lagu “Diari Metropolitan” daripada album studio kelima mereka, Ooh! La! La! pada tahun 1996. Pada tahun yang sama, Elite melancarkan single “G.I.G”, “Manisnya Senyumanmu” dan “Di Pintu Syurga”, hasil kolaboratif kedua bersama KRU yang dimuatkan dalam album sulung mereka, Catwalk (1996). Dua tahun kemudian, mereka telah melancarkan album studio kedua berjudul Tamparan (1998) yang disokong lima buah single, termasuk “Trauma”, “Dua Hati” dan “Tamparan Wanita”. Tamparan merupakan album terakhir Elite sebagai kuintet dengan barisan ahli asal sebelum pengunduran Abby Abadi.
Idola (1999), album studio ketiga Elite, menampilkan vokal undangan daripada kumpulan X-Factor, serta Norman KRU dan Zam Indigo. Album ini merupakan keluaran terakhir mereka yang menampilkan vokal daripada Linda Rafar sebelum beliau digantikan oleh Fiza Halim. Pada tahun berikutnya, Elite kembali dengan album kompilasi Merbahaya (2000), yang menghimpunkan 14 buah lagu. Merbahaya merupakan album terakhir mereka sebelum kontrak bersama KRU Records tamat.
Perwatakan kumpulan ini yang disifatkan sebagai “ranggi dan lincah”, turut mempunyai pengaruh terhadap industri fesyen dan penggayaan golongan remaja pada akhir dekad 1990-an.[2][3] Dalam haluan lain, Elite juga telah bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam kempen pembangunan wanita.[4]
Selepas pelancaran album kedua mereka, ReKRUed (1993), kumpulan KRU mula dikenali sebagai komposer dalam industri muzik Malaysia. Mereka telah menerima tawaran untuk menerbitkan dua album bagi kumpulan penyanyi wanita Feminin: Untukmu (1993) dan Kini (1994). Tony Fernandes, yang merupakan eksekutif Warner Music Malaysia ketika itu, menawarkan KRU peluang untuk menubuhkan syarikat rakaman mereka sendiri di bawah syarikat beliau. Namun, KRU yang masih terikat dengan kontrak di bawah EMI Music Malaysia menghadapi tentangan untuk menerima tawaran tersebut. EMI kemudian menawarkan KRU untuk membentuk syarikat rakaman bersama mereka, sebelum perjanjian usahasama dicapai bagi menubuhkan KRU Records pada tahun 1996.[5]
KRU Records menetapkan objektif untuk mewujudkan “KRU versi wanita” sebagai artis rakaman sulung mereka pada peringkat awal pembentukan. Inisiatif ini bermula apabila Sasha Saidin, Azza Zawari, dan Abby Abadi diberikan tawaran untuk menjadi sebahagian daripada “eksperimen” tersebut. Linda Rafar, yang berlakon bersama KRU dalam filem Awas (1995), turut menerima tawaran sewaktu kempen promosi filem tersebut berlangsung. Watie Sadali, kenalan rapat keluarga Linda, kemudian dipelawa untuk menyertai kumpulan tersebut bersamanya. Mereka ditandatangani secara individu oleh KRU Records, membentuk sekumpulan penyanyi wanita dengan keanggotaan lima orang yang ingin dinamakan sebagai “Baby G". Penamaan tersebut terpaksa ditukar bagi mengelakkan kekeliruan dengan sebuah jenama jam Jepun yang dikeluarkan pada tahun sebelumnya.[1] “Elite” kemudiannya dipilih sebagai nama yang baharu, mencerminkan permulaan ahli-ahli kumpulan ini sebagai peragawati dan pelakon.[1] Setelah Elite dibentuk, anggota kumpulan perlu menjalani latihan intensif di bawah didikan KRU. Selama hampir setahun, mereka “diperam” dan dilatih untuk menari serta menyanyi, selain menghadiri kelas vokal.[6] Penata gaya turut dipanggil dalam usaha meningkatkan daya tarikan “pop” mereka dalam kalangan masyarakat di Malaysia.[5]
Elite membuat kemunculan sulung di Awas Da’Concert, konsert jelajah KRU pada tahun 1995, sebelum berganding dengan mereka menerusi lagu “Diari Metropolitan” yang dimuatkan dalam album kelima KRU, Ooh! La! La! (1996).[1] Pada 9 September 1996, Elite mengeluarkan single pertama mereka, berjudul “G.I.G", berserta album single yang mengandungi beberapa remix, lagu “La Diva", dan instrumental.[7] Video muzik single tersebut, yang diarahkan Bob Hamzah, tercalon untuk kategori Video Muzik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-4, selain memenangi juara Carta Radio Muzik RTM.[8] “Manisnya Senyumanmu", single susulan, menerima kejayaan yang serupa apabila kedua-dua lagu tersebut melayakkan diri ke separuh akhir Muzik-Muzik 12 untuk kategori pop rock. Elite turut berganding semula dengan KRU untuk menghasilkan “Di Pintu Syurga", single ketiga daripada Catwalk. Lagu tersebut menjuarai Carta Mingguan Muzik-Muzik 12 bagi minggu ke-28 pada 14 Mei 1997. Album sulung Elite, Catwalk, dilancarkan pada 27 Oktober 1996 dalam format CD dan kaset. Album tersebut memuatkan 10 lagu berunsur pop, tarian dan hip hop. Catwalk mencapai kedudukan tertinggi di tangga #5 pada carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada 26 November 1996, di belakang Michael Learns To Rock, Backstreet Boys, Kenny G dan Celine Dion.[9]
Pada penghujung tahun 1996, Elite mengeluarkan “Tamparan Wanita” sebagai single pertama mendahului album kedua mereka. Album single turut diedarkan, yang memuatkan lagu “Di Pagi Aidilfitri” bersama Koir Kanak-Kanak Seri Murni, dan ucapan khas perayaan Aidilfitri daripada mereka.[10] Kulit album single tersebut telah menerima tajaan pakaian dan alat solek daripada DKNY dan Maybelline.[11] “Tamparan Wanita” tersenarai sebagai semi-finalis untuk Muzik-Muzik 13 dalam kategori pop rock. Video muziknya yang menerima sentuhan daripada Yusry Abdul Halim dan Johan Lucas, tercalon untuk kategori Video Muzik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-6. Tamparan, album studio kedua Elite dikeluarkan pada awal tahun 1998, dan telah terjual sebanyak 25,000 unit sepanjang dua bulan di pasaran.[4] Album ini mengandungi 10 buah lagu yang membincangkan pelbagai subjek, termasuk percintaan dan isu yang dihadapi wanita. Tamparan telah ditunda berikutan kontroversi yang melanda ahli kumpulan ini.[10] Sebanyak lima buah single telah dilancarkan daripada album tersebut, termasuk “Trauma”, “Dua Hati”, “Sesuatu Di Dalam Dirimu”, serta “Dirinya Dirimu Diriku”.
Tidak lama selepas pelancaran Tamparan, Abby mengundurkan diri daripada Elite sekitar suku kedua tahun 1998. Terdahulu, menurut kenyataan pihak pengurusan kumpulan tersebut, mereka telah dilanda kesulitan berikutan “masalah disiplin” yang menyebabkan Abby digantung keahliannya. Terdapat beberapa cadangan yang telah dikemukakan selepas pengundunduran Abby. Dalam satu temubual bersama Sasha, beliau menegaskan bahawa tiada keperluan untuk menggantikan beliau dengan serta-merta, dan menjelaskan bahawa pemergian beliau masih “dirindui". Elite turut mempertimbang untuk mengambil seseorang yang bukan berbangsa Melayu sebagai ahli baharu, selain membiarkan pilihan mereka kekal terbuka.[4]
Sekitar hujung suku kedua tahun yang sama, album video dalam format VCD dipasarkan KRU Records dan EMI Music Malaysia, berjudul Profile (1998).[12] Keluaran tersebut menghimpunkan sembilan video muzik Elite, daripada Catwalk (1996) Dan Tamparan (1998), serta temubual “panas” bersama kelima-lima ahli mereka. Video muzik untuk single “Lihatlah Dunia", yang disumbangkan sebagai runut bunyi untuk filem animasi pertama Malaysia, Silat Lagenda (1998), turut dimuatkan sebagai bonus.
Idola, album studio ketiga Elite dan yang pertama sebagai kuartet, dilancarkan pada penghujung tahun 1999.[13] Disifatkan sebagai pembawaan mereka yang lebih matang dan “berani” dari segi vokal, lirik, dan susunan muzik, album ini memuatkan 10 lagu dengan gabungan rentak pop, rock, R&B, dan hip hop.[14] Idola menampilkan beberapa lagu terkenal seperti “Aku Siapa, Kau Siapa”, “Potret Lama", dan “Bila?”, di samping menampilkan hasil kolaboratif Elite bersama kumpulan X-Factor, Norman KRU dan Zam Indigo.[1]
Terdahulu, Linda telah melangsungkan perkahwinan bersama pemandu go-kart kebangsaan Malaysia, Keifli Othman pada 1 Mei 1999, sebelum disahkan hamil dengan anak pertama mereka. Walaupun sempat mengambil bahagian dalam sesi penggambaran kulit album, kehamilan tersebut menghalangnya daripada menyertai anggota Elite yang lain dalam usaha mempromosikan Idola. Berikutan itu, Fiza Halim telah diambil sebagai ahli keenam Elite bagi menggantikan beliau. Selain menyertai aktiviti promosi album tersebut, Fiza turut muncul dalam video muzik “Aku Siapa, Kau Siapa,” mengambil alih bahagian Linda.[15]
Tidak lama selepas pelancaran Idola, lagu Elite telah “digam” Kementerian Penerangan daripada diputarkan di semua stesen Radio & Televisyen Malaysia (RTM), berikutan kontroversi yang melanda Watie. Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob menegaskan bahawa pihaknya memberi perhatian yang serius terhadap etika artis. KRU turut bertindak menggantung keahlian Watie selama tiga bulan, berkuat kuasa pada 24 Oktober 1999, sebelum beliau mengundurkan diri. Susulan pemergiannya, Hana Adnan telah diambil sebagai ahli ketujuh Elite bagi menggantikan beliau. “Aku Siapa, Kau Siapa” dan "Bila?" terpaksa dirakamkan semula dengan Fiza Halim mengambil alih bahagian nyanyian Watie.[16]
Elite mengeluarkan album kompilasi pertama mereka, Merbahaya, pada tahun 2000.[17] Album ini menghimpunkan 14 buah lagu daripada tiga album studio mereka, termasuk “Di Pagi Aidilfitri”, serta dua single baharu: “Merbahaya” dan “Selamat Tinggal Teman". “Merbahaya” menampilkan vokal Fiza dan Hana buat julung kali dalam album Elite. Abby dan Linda turut menerima “undangan khas” untuk merakamkan single “Selamat Tinggal Teman”. Bersama Watie, mereka turut mengambil bahagian dalam aktiviti promosi Merbahaya sebelum kontrak Elite bersama KRU Music tamat.[18]
Berikutan kekeliruan peminat mengenai status Elite selepas tamatnya kontrak bersama KRU Music, Azza menjelaskan bahawa Elite akan meneruskan kerjaya di bawah syarikat penerbitan mereka sendiri, Elite Entertainment, menerusi temu bual bersama Utusan Malaysia. "Elite Entertainment dikendalikan sepenuhnya oleh anggota kumpulan, dengan Azza bertanggungjawab dalam bahagian promosi, manakala Sasha mengatur aspek pengurusan.[19]
Pada tahun 2002, Elite kembali sebagai trio, terdiri daripada Azza, Sasha dan Watie, untuk merakam semula lagu “Mengerti”, yang asalnya diterbitkan dan dinyanyikan oleh KRU dalam album kedua mereka, ReKRUed (1993). Rakaman ini bertujuan memberikan penghormatan kepada KRU dan dimuatkan dalam album kompilasi 10/10 (2002), yang turut menampilkan pelbagai artis menyanyikan semula lagu-lagu kumpulan tersebut.[20] Bersama kumpulan penyanyi Kool, A To Z, Nico dan 4U2C, Elite tampil di pentas Anugerah Media Hiburan 2003 pada 28 Ogos 2004. Abby, yang tercalon dalam kategori Pelakon Drama Sensasi, membuat kemunculan bersama Azza, Linda dan Sasha untuk satu persembahan secara langsung.[21]
Pada hujung tahun 2010, kelima-lima ahli asal Elite membuat penampilan khas dalam rancangan televisyen Mari Menari untuk mempersembahkan "Tamparan Wanita". Dua tahun kemudian, bagi meraikan ulang tahun kemunculan sulung kumpulan KRU, ahli asal Elite menyertai barisan artis naungan KRU Music untuk membuat persembahan di konsert 20th Anniversary Showcase sebagai kuartet pada 10 Jun 2012.[5] Pada tahun 2018, mereka mengambil bahagian dalam musim kelima rancangan televisyen Gegar Vaganza yang mula ditayangkan pada 30 September. Berikutan jadual penggambaran Watie yang padat serta menghormati keputusan Abby untuk kurang aktif dalam industri hiburan, mereka menyertai rancangan televisyen tersebut sebagai trio. Penyertaan mereka dalam rancangan realiti muzik tersebut bertujuan membuka peluang baharu kepada anggota yang masih aktif, di samping membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.[22] Pada minggu pertama, Elite mempersembahkan lagu "Tamparan Wanita", sebelum memenangi anugerah Artis Bintang Cuckoo Paling Gempak menerusi persembahan "Bulan Cinta," nyanyian asal Amelina, pada minggu berikutnya[8] Namun, mereka tersingkir pada minggu ketiga selepas menerima untuk persembahan "Ku Bahagia” (Melly Goeslaw).[6]
Pada 23 April 2021, Elite melancarkan single pertama mereka dalam tempoh dua dekad, berjudul "Alhamdulillah," menerusi Imaan Studios, sebuah label rakaman di bawah KRU Music. Idea tersebut dicadangkan Norman dalam usaha menyatukan semula lima ahli asal Elite sewaktu perbincangan mengenai novel Linda. Proses rakaman "Alhamdulillah" dilakukan dengan segera untuk memastikan penglibatan semua ahli. Sesi penggambaran video muzik bagi single tersebut dijalankan pada hari yang sama dengan sidang media pengumuman rasmi.[23] Menerusi rancangan Malaysia Hari Ini pada 30 April 2021, video muzik “Alhamdulillah” menerima tayangan perdana sebelum dimuat naik di YouTube, serentak dengan pelancaran single tersebut untuk penstriman.[24][25]
- Abby Abadi (1995-kini)
- Azza Zawari (1995-kini)
- Linda Rafar (1995–kini)
- Sasha Saidin (1995-kini)
- Watie Sadali (1995-kini)
- Fiza Halim (1999–2010)
- Hana Adnan (2001–2004)
- Avaa Vanja (2001–2004)
- Sharifah Sofia
- Aen
Tajuk | Butiran | Kedudukan carta tertinggi |
---|---|---|
Catwalk |
|
5[26] |
Tamparan |
|
5[27] |
Idola |
|
3[28] |
Tajuk | Butiran | Kedudukan carta tertinggi |
---|---|---|
Merbahaya |
|
- |
Tajuk | Butiran | Kedudukan carta tertinggi |
---|---|---|
Profile |
|
- |
Tajuk | Butiran | Kedudukan carta tertinggi |
---|---|---|
G.I.G |
|
- |
Tamparan Wanita |
|
- |
- ^ a b c d e "KRU Music Group". web.archive.org. 2006-08-13. Dicapai pada 2024-10-02.
- ^ TV3MALAYSIA Official (2022-10-16), NONA | Artis Throwback: Elite, dicapai pada 2024-10-03
- ^ kwc (2024-07-11). "KERIANGAN 90AN". KWC Fashion Wholesale. Dicapai pada 2025-03-17.
- ^ a b c "*T A M P A R A N*". web.archive.org. 1999-01-17. Dicapai pada 2024-10-02.
- ^ a b c Boom! International (2020-06-16), Fenomena Gergasi KRU25 : Episod 4 - Legasi, dicapai pada 2024-10-02
- ^ a b Norman Abdul Halim (2021-04-16), Highlights Tanya Bang Long: Topic Lagu Terbaru Elite "Alhamdulillah", dicapai pada 2024-10-02
- ^ Elite - G.I.G (dalam bahasa Inggeris), 1996, dicapai pada 2025-03-17
- ^ a b "(Carta popular) | KLiK". www.klik.com.my. Dicapai pada 2024-10-02.
- ^ Inc, Nielsen Business Media (1996-12-07). Billboard (dalam bahasa Inggeris). Nielsen Business Media, Inc.
- ^ a b "Elite – Tamparan Wanita". Discogs. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ "Elite - Tamparan Wanita [1996]". Dicapai pada 2024-10-02.
- ^ "Elite – Profile". Discogs. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ "Elite – Idola". Discogs. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ RedXWing2 (2017-11-02), ELITE - Muzik-Muzik 1999 (Prime 12), dicapai pada 2024-10-03
- ^ KRU Music (2013-05-07), ELITE - "Aku Siapa Kau Siapa" (MTV KARAOKE), dicapai pada 2024-10-03
- ^ ZMAN DIN (2021-10-24), Elite - Bila, dicapai pada 2025-03-17
- ^ "Elite – Merbahaya". Discogs. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ RedXWing2 (2017-07-28), ( Part 3 ) Elite - Anugerah Sensasi PPMH 2000 (13 Jan 2001), dicapai pada 2025-03-17
- ^ "Janji Elite selepas kontroversi". web.archive.org. 2017-02-19. Dicapai pada 2024-10-03.
- ^ "Spotify". open.spotify.com. Dicapai pada 2024-10-03.
- ^ "TikTok - Make Your Day". www.tiktok.com. Dicapai pada 2025-03-17.
- ^ Budiey Channel (2018-09-25), Walaupun Bertiga, Elite Mampu Kasi TAMPARAN WANITA di GEGAR VAGANZA 5, dicapai pada 2024-10-03
- ^ TV3MALAYSIA Official (2021-04-29), Artis Jemputan: Kumpulan Elite (Abby Abadi, Azza, Linda Rafar, Watie) | MHI (30 April 2021), dicapai pada 2024-10-03
- ^ Imaan Studios (2021-04-29), Alhamdulillah - Elite (Official Music Video), dicapai pada 2024-10-03
- ^ ALHAMDULILLAH - Single by Elite on Apple Music (dalam bahasa Inggeris), 2021-04-30, dicapai pada 2024-10-03
- ^ Inc, Nielsen Business Media (1996-12-14). Billboard (dalam bahasa Inggeris). Nielsen Business Media, Inc.
- ^ New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times.
- ^ New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times.
Penglihatan awal
Untuk menetapkan penglihatan awal templat, |state=
parameter boleh digunakan:
|state=collapsed
: {{Elite (kumpulan)|state=collapsed}} untuk menunjukkan templat dikecutkan, iaitu, tersembunyi selain dari palang tajuknya|state=expanded
: {{Elite (kumpulan)|state=expanded}} untuk menunjukkan templat dikembangkan, iaitu dapat dilihat sepenuhnya|state=autocollapse
: {{Elite (kumpulan)|state=autocollapse}}- menunjukkan templat dikecutkan ke palang tajuk jika terdapat {{palangnav}}, {{palangsisi}}, atau sebarang jadual lain pada laman dengan atribut boleh lipat
- menunjukkan templat dalam keadaan dikembangkan jika tiada terdapat benda boleh lipat yang lain pada laman
Jika parameter |state=
tidak ditetapkan, penglihatan awal templat diambil daripada parameter |default=
dalam templat. Untuk templat ini, yang tersebut sedang menilai ke autocollapse
.
</noinclude>